Jumaat, 2 Januari 2009

serpihan masa

ALANG masih meneruskan zikir. Khusyuk tumpuannya mendaki lazat munajat sehingga menafikan kewujudan dunia yang sudah lama diliputi kanvas malam. Dingin pagi tidak menggugat lafaz tahlil daripada berterusan.

Sebentar kemudian bahunya ditepuk perlahan. Dia membuka mata dan menoleh ke arah Deraman. Didapati ramai rakan-rakannya sudah tiada di sekeliling.

"Sudah sampai masanya," Alang mengangguk perlahan dan menyatakan yang dia bakal menyusul. Deraman kembali meninggalkannya. Alang menyudahi tahajud dan munajatnya dengan witir sebelum mengangkat tangan berdoa bersungguh-sungguh hati.


Dalam doanya, dia membacakan ayat kelima daripada surah al-Fatihah: "Hanya kepada Engkaulah kami sembah dan hanya kepada Engkaulah kami memohon pertolongan." Dengan penuh harapan, dia memohon semoga usaha mereka berjaya.


Rembulan mengambang penuh ketika Alang bersama-sama hampir 350 rakannya berkumpul mendengar amanat terakhir daripada Guru Haji. Guru berusia hampir 70 tahun dan menghabiskan sebahagian masa mudanya menuntut ilmu di Makkah itu kemudiannya memulakan bicara:

"Anak-anakku, semua manusia pasti menemui mati, cuma bezanya sama ada kematiannya itu menempatkannya di dalam satu daripada lubang neraka atau satu daripada taman syurga." Alang mendengar penuh khusyuk. Jiwanya sudah sebati dengan setiap amanat guru hafiz itu. Dia sudah tidak takut kepada kematian. Dia malah mendambakan syahid.

Semangat jihadnya meluap. Dia ingin membenamkan mata kerisnya ke setiap dada penjajah. Mereka akan membebaskan tanah tumpah darah ini daripada belenggu penjajahan ke jalan kemerdekaan.

Sudah lama penjajah berambut kuning dan perang itu menduduki tanah mereka. Mulanya sekadar ingin berdagang, tetapi akhirnya membawa semboyan perang. Tanpa diduga, suatu hari, puluhan kapal asing mendarat dan menurunkan soldadu yang terus mendatangkan kekacauan.

Rumah dan bangunan dibakar tanpa sebab, rakyat kebanyakan habis ditikam dan ditembak selepas pahlawan-pahlawan negara ditumpaskan. Anak gadis sopan habis dirogol dan akhirnya tampuk pemerintahan tanah kelahiran mereka dirampas.

Alang masih ingat itu semua, tujuh kali Ramadan gagal melenyapkan bayangan ibu dan bapanya yang maut ditembak penjajah berkulit putih serta berambut kuning dan perang itu dan hari ini, dia di bawah pimpinan Guru Haji akan melancarkan satu lagi jihad qital terhadap penjajah laknat.

"Sentiasa ingatkan Allah SWT ketika menyerang atau bertahan anakku," pesanan lembut Guru Haji selaku bapa angkatnya disambut dengan kucupan hormat di tangan insan mulia itu. Sejak kematian ibu bapanya, Guru Haji yang menjaganya bersama-sama 70 anak yatim piatu lain yang keluarga mereka dibunuh penjajah.

Selama tujuh tahun, mereka diajar mencintai Islam serta menyempurnakan tauhid, fiqah, ibadat, akhlak, ilmu persilatan dan ikhtiar hidup oleh Guru Haji bersama-sama kumpulannya di satu daerah terpencil yang tidak diketahui penjajah memerintah.

Hinggalah sampai ketika ini, seruan jihad berkumandang apabila kedengaran penjajah yang khabarnya berasal dari Barat dunia itu akan membawa masuk ratusan mubaligh bagi memurtadkan penduduk. Kesayuan menusuk jiwa mereka apabila turut diberitahu sudah ada penduduk yang menukar akidah. Lalu demi kecintaan terhadap Islam, Guru Haji mengatur segala perancangan.

Satu demi satu kubu musuh digempur dan para mubaligh ditahan atau dibunuh. Alhamdulillah, Allah memihak kepada mereka dan kemenangan masih di tangan mereka walaupun beberapa saudaranya syahid. Dua hari lalu saja, satu lagi pangkalan penjajah berjaya dirampas dan hari ini, usaha mereka akan diteruskan. Bagi Alang, dia akan terus berjihad sehingga syahid menjemputnya pulang. Islam akan terus dipertahankan di bumi bertuah ini dan budaya murni bangsa yang berteraskan syariat akan terus dipelihara ke anak cucu!

Matahari berganjak dan terus berganjak melewati putaran waktu. Akhirnya cahaya suria berjaya melepasi tingkap dan menjamah mukanya. Mahmod terjaga dengan mata terpisat-pisat. Dia melihat jam di dinding menunjukkan pukul 12.52 tengah hari.

Hampir tujuh jam dia tertidur. Dia bangun dari katil dengan kepala yang berat sebelum kembali duduk di sofa ruang tamu. Dinyalakannya sebatang rokok dan disedutnya dalam-dalam. Malam tadi dia bersama Nancy terkinja-kinja menonton konsert sempena menyambut hari kemerdekaan negara mereka. Habis konsert, mereka meraikan malam menjelang kemerdekaan dengan melepak di pub sambil meneguk arak. Habisnya dalam keadaan mabuk, dia pulang ketika azan Subuh berkumandang dari surau di bawah pangsapurinya.

Rambutnya yang masih berwarna merah dan dibentuk ala punk digaru gatal. Habis sebatang rokok, dikeluarkannya setin bir dari peti sejuk dan ditunggang laju. Seketika kemudian kedengaran azan Zuhur dari surau berhampiran.

"Memekak aje," dia tidak senang dengan seruan Tuhan itu. Apatah lagi untuk menunaikan solat. Sejak kecil lagi dia tidak menunaikan solat, malah ibu bapanya juga tidak pernah menggalakkan. Mereka sendiri terlalu sibuk mengejar material sehingga lupa bahawa mereka dilahirkan beragama Islam yang memiliki tanggungjawab untuk ditunaikan dalam hidup.

Mahmod kemudiannya menekan butang alat kawalan jauh dan menghidupkan televisyen. Skrin televisyen memaparkan berita tengah hari yang melaporkan mengenai penindasan Israel terhadap umat Islam di Palestin.

"Arrgh, bosan." Dia mengalihkan saluran ke rancangan hiburan. Tiada perasaan belas ketika menonton berita kezaliman Zionis terhadap saudara se-Islam sebaliknya berita seperti itu mendatangkan rasa bosan kepada dirinya. Bagaimana tidak, Islam sudah terlalu asing kepada dirinya. Islam sekadar menjadi hiasan pada kad pengenalannya semata-mata. Hidupnya sejak kecil lagi lebih didedahkan kepada cara hidup kebaratan.

Memang begitulah keadaan di negaranya sepanjang dia membesar. Televisyen, bahan bacaan, internet dan persekitaran masyarakat banyak dipengaruhi (baca: dijajah) elemen Barat walaupun Islam diangkat sebagai agama rasmi negara. Lalu masyarakatnya kini lebih mahu meniru Barat dalam apa saja bidang. Dia sendiri memuja bangsa itu baik dalam gaya hidup, budaya; fahaman hendonisme, sekularisme dan pelbagai isme lain, pelbagai produk keluaran Barat dan mengidolakan individu dari negara asing itu.

"Kau tengok budak tu, solat tunggang-tungging nak tunjuk baiklah tu. Setiap Jumaat saja mesti pakai kopiah dan baju Melayu datang kerja, kolot betul," demikian dia bersama-sama rakannya pernah ketawa berdekah-dekah, selepas mengutuk seorang pekerja di pejabatnya yang masih mengamalkan Islam.

Mahmod sedar bahawa dia tidak keseorangan malah rakan-rakan dan ramai masyarakat yang bersikap sepertinya. Untuk apa bersolat dan mengamalkan ajaran Islam? Semua itu melecehkan. Bukan boleh kaya kalau solat. Begitulah pandangannya yang dibentuk persekitaran sejak kecil. Sebentar kemudian telefon tangannya berbunyi. Tertera nama Nancy di skrin telefon.

Nancy: Hei Mike, you dah bangun?

Mahmod @ Mike: Baru bangun.

Nancy: Kawan I ajak celebrate party merdeka pukul 5 nanti. Temankan I.

Mahmod @ Mike: Okey, lagi sejam I ambil you.

Sebaik menamatkan panggilan, Mahmod terus bangun, mencapai tuala dan menuju ke bilik mandi. Sejam selepas itu, keretanya terus memecut menuju ke kediaman Nancy, diiringi hujan yang mula merintis.

Titisan hujan itu kemudiannya turun semakin laju sehingga mendahului pergerakan jarum jam. Detik waktu diatasi titisan hujan. Seketika kemudian petir menjalar di langit luas dan guruh berdentuman.

Tubuh Alang dibasahi air hujan. Baju birunya lencun dicemari warna merah, dibasahi darah akibat luka dilibas benet yang dicampuri air hujan. Dia termengah-mengah. Dari jauh kedengaran seorang saudaranya melaung:

"Allahhuakbar!" semangatnya mengatasi mengah dan dia kembali mencari nyawa musuh seterusnya. Sudah lapan jasad musuh kecundang ditikam mata kerisnya sejak mereka melakukan serang hendap, awal pagi tadi.

Kegelapan dan kedinginan malam memudahkan serangan mereka. Musuh tidak menyedari ketika panah-panah api membakar keseluruhan kubu penjajah. Dalam sekelip mata saja, kubu itu diterangi nyalaan api yang membakar seterusnya mencetuskan panik di kalangan penghuninya.

Tembakan bertubi-tubi dilepaskan ke kawasan hutan yang mengelilingi kubu. Kumpulan Guru Haji mendiamkan diri di sebalik pohon yang menjadi penghadang sehinggalah tembakan reda.

Seterusnya apabila tentera asing dikerah keluar dari kubu bagi menjejaki mereka, ratusan anak panah kembali dilepaskan dan menembusi dada musuh. Kemudiannya mereka menyerbu kubu berkenaan dan pertempuran hebat berlaku.

Badan Alang sudah dipenuhi luka akibat tembakan dan tikaman benet senjata musuh, tetapi kesakitan itu diabaikannya. Mulutnya sentiasa berzikir sepanjang masa menyerang atau bertahan.

Guru Haji sudah hilang di pandangannya. Sebentar tadi dia melihat sendiri betapa gagah dan perkasanya guru itu menewaskan puluhan musuh. Semangatnya sendiri terangsang melihat teladan Guru Haji.

Seorang musuh menghalakan laras senapang ke arahnya lantas memetik picu. Alang yang lambat menyedari berusaha mengelak tetapi peluru itu sudah menjamah sedikit isi lengannya. Dengan pantas pula, pendekar itu melemparkan pisau ke arah penembak tadi sehingga ketajaman mata pisau itu terpacak di batang leher si musuh.

Kemahiran bertempur dipraktik bersungguhnya, kesabaran menanggung sakit dan tingkatan tauhid terhadap ketentuan Allah dalam menentukan hidup atau mati, sengsara atau kemenangan diuji dalam setiap jiwa anak murid Guru Haji. Syahid, syahid, syahid. Itulah impian mereka.

Alang mengambil senapang seorang tentera musuh yang ditewaskannya. Dengan senjata itu, dia menembak mati beberapa tentera musuh yang ketakutan. Kengerian terselindung di sebalik mata musuh apabila melihat semangat juang kumpulan Guru Haji.

Tentera Guru Haji berjuang mencari mati syahid tetapi tentera penjajah berjuang untuk terus hidup. Lalu apabila merasakan bahawa peluang mereka untuk hidup semakin menipis, maka ramai tentera musuh melarikan diri meredah hutan meninggalkan kubu mereka.

Ketika Zuhur menjelma, pertempuran semakin reda. Tubuh-tubuh kaku berselerakan di atas tanah. Ramai tentera penjajah dan mubaligh maut atau melarikan diri bagi menyelamatkan nyawa masing-masing.

Seorang musuh terakhir berjuang habis-habisan dan melibaskan pedangnya ke merata arah. Perjuangannya bukan lagi demi kedaulatan negara, bangsa dan agama sebaliknya demi menyelamatkan nyawanya sendiri. Akhirnya selepas mendapati semua rakan-rakannya sudah mati atau melarikan diri dan dia dikelilingi Guru Haji dan anak buahnya, lelaki berambut perang itu sedar pasukan mereka sudah kalah. Kubu mereka sudah ditawan pejuang Islam.

Dia kemudiannya melemparkan senjata dan terduduk di atas tanah, menyerah kalah. Guru Haji masuk di tengah bulatan kepungan dengan badan dipenuhi luka. Seketika dia melaungkan takbir dan disambut anak didiknya.

Suasana sekitar bergema dengan nama Allah. Allahuakbar! Allahuakbar! Allah Maha Besar! Sayu menusuk ke jiwa Alang. Satu lagi kubu musuh ditawan. Satu lagi usaha jihad bagi mendaulatkan Islam di bumi mereka dan mengekang penjajahan musuh Allah itu berjaya dilaksanakan.

Air mata mengalir di pipinya dan dalam hatinya, dia berharap usaha mereka itu akan menyebabkan Islam terus bertapak di bumi bertuah ini dan diamalkan generasi akan datang. Hujan yang melebat sebentar tadi mula merenyai.

Beberapa ketika kemudian, hujan berhenti dan kereta Satria Neo dinaiki Mahmod dan Nancy turut berhenti di perkarangan banglo tiga tingkat di tepi bukit itu. Bunyi bising muzik kedengaran sehingga ke luar.

Mahmod dan Nancy atau nama sebenarnya Nurul Nazlina, melangkah memasuki ruang tamu banglo yang sudah dipenuhi remaja yang asyik liar berpesta. Tin bir bersusun di atas meja di samping kek dan pelbagai makanan ringan. Remaja dengan pakaian mencolok mata dan mendedahkan tubuh menari riang mengikut alunan muzik yang melekakan.

Sudah tiada bezanya keadaan di banglo itu (yang letaknya kira-kira 500 meter dari masjid) dengan keadaan di negara Barat. Ketika ramai remaja leka menari, seorang pemuda dan pemudi yang mabuk berpimpin tangan memasuki bilik berdua-duaan sebelum mengunci pintu.

Di luar, seorang lelaki tua yang baru pulang dari masjid berhampiran selepas menunaikan solat Asar menggeleng kepala ketika melalui hadapan banglo itu.

"Umat Islam dulu sanggup mati menentang penjajah demi memastikan Islam terus kekal sehingga kini tetapi umat Islam masa kini pula yang merosakkan Islam," dia terus berjalan sambil menggelengkan kepala, tertanya-tanya sampai bila keadaan itu akan berterusan.

PROFIL:

MOHD Nasron Sira Rahim atau nama penanya, Nasron Sira Rahim dilahirkan di Kampung Nawa pada 23 Disember 1981, berkarya dalam genre cerpen dan puisi sejak 2001 dan karyanya mendapat tempat dalam majalah mahupun akhbar arus perdana negara ini. Turut meminati penulisan rencana, esei selain berkebolehan melukis kartun dan komik. Novel pertamanya, Enigma, diterbitkan BukuPrima manakala novel kedua kini dalam proses penerbitan. Wartawan di Meja Luar Negara, Berita Harian, kini dalam proses menyiapkan novel ketiganya.


BERITA HARIAN

0 nice comments:

 

cahayahatiku Copyright © 2009 Cookiez is Designed by Ipietoon for Free Blogger Template