SEGALANYA KIAN BERERTI....
Aku pergi semalam
sewaktu keringatmu masih bercucuran
mengejar mimpi kelmarin
yang kecundangan
melangkah dalam redha,
biar digalang payah yang merantai
jua hamparan mimpi yang berkecai
dan rindu yang sering mengejar
di kala aku mula mengerti
dan melangkah sendiri
aku tinggalkan jua teratak gemulah ayah,
biar batin meratap
menjejak angan yang ku lakar sepanjang keremajaan
meredah dalam sukar
biar dipaut duka yang merentap
jua lukisan pengalaman nan kelam
dan silam ku yang sering menekan
di waktu aku mula berlari
dan mengejar mimpi...
aku berdiri jua biar sendiri
bertatih jua biar tempang membelenggu
ku gagahkan jua senyumku
biar sakitnya tersungkur semalam –
masih mendera
ku tabahkan jua langkahku
biar darah merah yang mengalir –
belum berhentiku pandang dada langit
yang masih menguntum
sinarku kenang wajah ibu
yang setia merangkai doa
dan ku tatap luka yang mula berparut
sepanjang perjuangan yang panjang ini...
segalanya membuat aku kian yakin...
kembara ini akan berhasil jua
dengan senyuman yang lebih bermakna
hasil nukilan..
Faizul Mohamad
Kolej Kediaman Tun Syed Zahiruddin,
Universiti Malaya,
26 Januari 2006
Rasa
5 tahun yang lalu
0 nice comments:
Catat Ulasan